Wednesday 27 May 2015

Sejarah Penubuhan



Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi [SMKBBST] ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula beroperasi pada 3 Januari 2001. Sekolah ini merupakan sekolah menengah kelima ditubuhkan di daerah Sepang. Pada peringkat awal, bilangan pelajar adalah seramai 73 orang iaitu terdiri daripada dua kelas tingkatan 1. Bilangan tenaga pengajar pula ialah seramai 13 orang termasuk tiga orang pentadbir. Tuan Haji Hisamuddin bin Husnin merupakan pengetua pertama sekolah ini. Pada masa itu, hanya seorang pembantu tadbir sahaja yang ditugaskan di SMKBBST.

Oleh sebab bangunan sekolah belum siap sepenuhnya, sekolah ini terpaksa ditumpangkan di bangunan SMK Seri Sepang. Pada 11 Jun 2001, barulah SMKBBST berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di Taman Dahlia. Sejak berpindah ke bangunan baru, bilangan pelajar semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Bagi menampung keperluan pelajar khususnya yang tinggal berjauhan dengan sekolah, asrama putera dan asrama puteri telah disediakan. Asrama SMKBBST mampu menampung sehingga 250 orang pelajar dan mula beroperasi pada tahun 2002. Sekolah ini juga merupakan sekolah pertama daerah Sepang yang menawarkan kelas khas aliran Bahasa Arab pada tahun 2002. Seterusnya kelas Pendidikan Khas mula dibuka pada tahun 2003. Bagi menggerakkan sokongan dan peranan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG] telah ditubuhkan dan En Jamil bin Haji Saad telah dilantik sebagai Yang Dipertua PIBG SMKBBST yang pertama.

Dalam bidang kurikulum pula, pada tahun 2005 sebuah makmal komputer yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran mula beroperasi dan sebjek Teknologi Maklumat mula ditawarkan pada pelajar tingkatan 4 pada tahun 2006. Pada tahun 2006 juga telah diwujudkan subjek Pendidikan Vokasional iaitu Hiasan Dalaman yang ditawarkan kepada pelajar tingkatan 4.

Pada tahun 2006 juga, SMKBBST maju selangkah lagi dengan penubuhan kelas tingkatan 6. Pada tahun 2007 pula, SMKBBST melakar sejarah dengan penubuhan kelas tingkatan 4 jurusan Sains Tulen Agama. Pada tahun yang sama juga, sesi persekolahan petang juga telah mula dilaksanakan dengan bilangan pelajar seramai 250 orang dan 11 orang guru sahaja. Persekolahan sesi petang ini diselia oleh Puan Mardiyah binti Mohamad.

Sehingga kini jumlah pelajar di SMKBBST adalah seramai 1970 orang dengan tenaga pengajar seramai 144 orang.

Dengan komitmen yang tinggi antara PIBG dengan pihak sekolah, telah meletakkan nama SMK BBST sebaris sekolah terbaik di Malaysia apabila dicalonkan sebagai Sekolah Cemerlang Kategori Asrama Harian. Ini adalah satu penghormatan yang tidak terhingga kepada warga SMKBBST. Kepimpinan dan kecemerlangan SMKBBST diteruskan dengan kehadiran Tn Hj Muskamal bin Mohamad Jonan. Semoga SMKBBST terus mencapai visi dan misi.

No comments:

Post a Comment